Melukis Mata dengan pensil colour terus tanpa menggunakan pensil biasa.Penggunaan Tone atau Nada Warna juga diberi tunjuk ajar bagi membangkitkan hasil lukisan Mata tersebut. Cara dan Teknik Mudah memberi kefahaman kepada pelajar menguasai sesuatu lukisan.
Galeri Seni Muar terletak di No. 1-2A (Tingkat Atas) Jalan Enggang, Taman Marin, Sungai Abong, 84000 Muar sebuah lokasi yang ideal kerana kedudukannya berhampiran pusat bandar Maharani yang menjadi nadi kepada daerah Muar. Galeri seni ini akan menjadikan Muar sebagai bandar seni khususnya bagi mempopularkan aktiviti seni lukis di Negeri Johor dan juga menjadi medium untuk para artis melaksanakan aktiviti seni.
Galeri Seni Muar ditubuhkan melalui Persatuan Warisan Seni Muar Johor. Ianya mula diilhamkan oleh lima orang pelukis iaitu En. Abdul Rahman bin Yusuf @ Musa, En. Abu Bakar bin Kasbon, En. Shukur bin Hashim, En. Ahmad bin Abbas dan En. Yusos bin Khalid pada tahun 1969. Mereka telah menubuhkan sebuah persatuan yang dikenali sebagai Kumpulan Melayu Muar. Tujuan persatuan ini ditubuhkan adalah untuk menghimpunkan para pelukis Melayu di Negeri Johor terutamanya dari daerah Muar di bawah satu wadah bagi merancakkan lagi aktiviti-aktiviti seni lukis di daerah ini. Persatuan ini telah mengadakan beberapa siri pameran lukisan di bandar Maharani dan sekitar Muar pada tahun-tahun 1969 hingga1974. Pada 8 Februari 2000 persatuan ini telah diberi nafas baru dan didaftarkan dengan nama Persatuan Warisan Seni Muar Johor bagi melaksanakan beberapa objektif seperti menjadi penggerak terhadap perkembangan dan aktiviti seni lukis, seni halus serta pelbagai cabang pengajian liberal di Muar.
Persatuan ini kemudiannya telah menyewa sebuah premis beralamat di Tingkat 3, No.75 Jalan Maharani, Muar dan dijadikan sebagai galeri seni dan tempat menjalankan aktiviti-aktiviti seni lukis sehingga Disember 2004. Aktiviti-aktiviti seni terhenti sementara apabila pemilik bangunan tidak lagi menyambung kontrak sewaan kepada persatuan kerana mendapat tawaran daripada penyewa lain yang ingin menggunakan keseluruhan bangunan tersebut. Pada November 2008, pihak persatuan sekali lagi menyewa sebuah premis di Taman Marin Sg Abong, Muar untuk dijadikan sebagai galeri dan tempat persatuan menjalankan aktiviti-aktivitinya.
PERANAN GALERI SENI DI MUAR Memartabatkan Seni Lukis Kewujudan galeri ini mampu merancakkan lagi aktiviti seni di Muar sekali gus menjadi wadah penting dalam menjana perkembangan dan mempopularkan seni tanah air. Antara peranan penting galeri ialah mewujudkan koleksi tetap melalui pembelian hasil seni dalam bentuk lukisan, arca, lakaran dan cetakan bagi tujuan mengesan perkembangan seni lukis di Johor dari dahulu hingga sekarang. Karya-karya itu diperolehi sama ada dengan membeli terus daripada artis atau pengumpul lukisan, dihadiahkan sendiri oleh artis, atau artis sendiri yang mengamanahkan hasil lukisan mereka untuk dipamerkan di galeri.
Bagi meluaskan cabang fungsi penubuhannya, galeri ini turut melaksanakan program kajian dengan mengumpul bahan-bahan rujukan yang berkaitan seni lukis khususnya bagi kegunaan akademik dan rujukan peminat seni. Galeri juga merupakan antara salah satu medium untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat melalui program pendidikan seni yang diadakan. Adalah penting bagi pihak galeri menerangkan kepada masyarakat supaya mereka memahami seni melalui skop yang luas sekaligus langkah ini berupaya meningkatkan minat, kefahaman dan penghayatan masyarakat terhadap seni.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan